BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki maut, manakala rakannya cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 75.6 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) antara Ayer Hitam ke Machap, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 2.30 pagi melibatkan tiga buah motosikal serta masing-masing sebuah bas, van dan kereta.
Katanya, siasatan awal mendapati Muhammad Ammar Zafran Khairul Nizam, 14, membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 16 tahun datang dari arah Ayer Hitam ke Machap.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, mangsa bersama penunggang motosikal telah terlibat dengan dua buah motosikal lain yang datang dari arah sama.
“Akibat kejadian itu, mangsa bersama penunggangnya telah tercampak ke tengah jalan dan dalam masa sama sebuah bas, kereta dan van yang berada di belakang tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran ke atas mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, akibat daripada itu, Muhammad Ammar Zafran yang beralamat di Taman Sri Lambak, Kluang telah mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi nahas.
Ujarnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan di tangan dan kaki, kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke hospital berdekatan untuk rawatan dan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE