PENANTIAN selama 40 tahun Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) untuk mendapat pengiktirafan sewajarnya berakhir apabila nama ‘sukan orang pekak’ disebut sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam pembentangan Belanjawan 2026 kelmarin.
Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn menyifatkan pengumuman itu sebagai satu kejutan besar yang menyuntik ‘cahaya’ dan harapan baharu bukan sahaja kepada atlet, tetapi kepada seluruh komuniti orang pekak di negara ini.
Menurutnya, ia adalah satu pengesahan dan bukti kesamarataan daripada kerajaan setelah sekian lama sukan itu seolah-olah ‘dianak tirikan’ terutama stigma mengenai bajet khusus untuk MSDeaf.
“Kami sangat terkejut. Bila Yang Amat Berhormat memetik ‘sukan orang pekak’, ia memberi harapan yang sangat besar. Ibu bapa yang mempunyai anak pekak kini gembira kerana usaha anak-anak mereka dihargai.
“Selama ini kami mungkin dianggap seperti anak tiri, tetapi sekarang kami dilihat sama rata seperti sukan-sukan yang lain. Ini adalah satu pengesahan daripada pihak kerajaan dan KBS,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Menurutnya, pengiktirafan daripada kerajaan ini akan membuka lebih banyak pintu dan menarik minat bakat-bakat baharu dari seluruh negara untuk menceburi sukan, sesuatu yang sukar dilakukan sebelum ini kerana kurangnya keyakinan daripada ibu bapa.
“Saya yakin, sokongan daripada pihak kerajaan mampu meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap anak-anak mereka dalam sukan ini. Ini adalah berita baik untuk semua selepas lama kita perjuangkan ,”ujarnya.
Bagaimanapun, Shin Ruenn mendedahkan bahawa pihaknya dijangka menerima peruntukan tahun hadapan sebanyak RM2 juta, namun ia masih belum mencukupi apabila memerlukan tambahan RM1 juta lagi untuk beroperasi dengan baik.