PETALING JAYA – Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyifatkan perjuangan membebaskan negara Palestin tidak akan terhenti setakat ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Prof. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pihaknya akan terus berjuang untuk memerdekakan negara tersebut yang dijajah Israel selama 76 tahun.
“Misi ini tidak perlu sampai ke Gaza untuk berjaya kerana ketika dunia mula memerhati, ketika kita semua resah tentang nasib rakyat di Gaza, objektif misi ini sudah tercapai.
“Israel boleh menahan kapal, memenjarakan aktivis kita, namun gelombang flotila ke Gaza akan terus berlayar dan tidak mampu meruntuhkan semangat solidariti kita semua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Kamal Nasharuddin memaklumkan sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza tiba ke tanah air pada pukul 4 petang tadi dengan menaiki penerbangan Saudia SV0834.
“MyCare merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepada kerajaan. Terima kasih atas usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan meminta jasa baik Turkiye membantu sembilan aktivis kita dengan membenarkan penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul bagi membawa mereka dari Israel sebelum ke tanah air,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada aktivis Malaysia terlibat iaitu Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, Norsham Abu Bakar, Dr, Noorhasyimah Ismail dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil. – KOSMO! ONLINE