KAMPAR – Pemerkasaan wanita menerusi program-program outreach terus diperhebat di negeri ini selari dengan keperluan semasa untuk menyantuni kaum Hawa yang memerlukan sokongan seperti dari sudut emosi.
Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria berkata, pengupayaan kaum wanita menerusi program sedemikian adalah penting ekoran cabaran semasa mengubah cara hidup mereka.
Sebagai contoh, katanya, cabaran menguruskan rumah tangga adalah berbeza berbanding masa lalu yang mana ada dalam kalangan wanita tidak bekerja, namun hakikatnya mereka kini juga turut sama mencari rezeki di luar.
“Begitu juga dengan cabaran lain seperti menjaga anak yang mempunyai masalah mental seperti anxiety, ia mendatangkan stres kepada wanita. Ada dalam kalangan mereka yang memendamkan perasaan dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya
“Jadi di sini Wanita Perak akan terus memperkasakan program-program outreach bagi tujuan itu, yang mana kita menerusi Wanita Inspirasi Negeri Perak (WINP) akan memastikan matlamat pengupayaan wanita dapat dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan Wanita dan Kesihatan Mental 2025: Intervensi Pemulihan Emosi dan Sokongan Sosial Untuk Wanita Berisiko anjuran WINP Kluster Kesihatan di Refarm Leisure Farm & Resort di sini.
Pada masa sama, Jamilah berkata, pemerkasaan wanita turut menjadi matlamat kerajaan negeri terutamanya di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Sebab itulah, agenda pemerkasaan wanita itu perlu dilaksanakan dengan pendekatan sedemikian kerana kita tidak mahu ahli-ahli perwakilan yang dilantik hanya bersidang di dewan semata-mata.
“Ahli perwakilan Wanita Perak yang dilantik bagi tempoh dua tahun ini terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti cikgu, kaunselor dan wartawan jadi kepakaran dimiliki mereka dapat dimanfaatkan bagi memerkasan wanita di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE