fbpx
Nancy hadir pada majlis perasmian Larian Kasih Fun Run KPWKM di Dataran DBKL, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

Pendidikan seks masih tidak mencukupi – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melaksanakan program pendidikan sosial termasuk pendidikan seks dalam kalangan pelajar sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerjasama antara dua kementerian itu telah lama wujud melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sosial Negara (MSN), namun usaha tersebut perlu diperkasa lagi agar memberi impak yang lebih menyeluruh.

“Sebenarnya kita bersama melalui Majlis Sosial Negara memang ada perkara tertentu seperti program ‘sex education’ (pendidikan seks). Saya berterus terang, pendidikan seks masih tidak mencukupi, jadi kita perlu cari jalan untuk tambah baik.

“KPWKM juga mempunyai program melalui sub-fasiliti termasuk di bawah Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang turut membantu pelaksanaan di sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Larian Kasih Fun Run KPWKM di Dataran DBKL, di sini hari ini.

Menurut beliau, KPWKM turut melaksanakan program bersama pihak sekolah melalui inisiatif Pusat Remaja KafeTEEN, yang menjadi antara bentuk kolaborasi aktif dengan institusi pendidikan.

“Kerjasama ini adalah berterusan, namun seperti yang disebut tadi, ia perlu diperkuatkan lagi. Kita juga kena ambil kira faktor seperti masa cuti sekolah dan musim peperiksaan supaya pelaksanaan program berjalan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI