PETALING JAYA – Kejayaan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, menjuarai Terbuka Artik 2025 bukan sekadar membawa pulang kejuaraan, tetapi menjadi simbol semangat juang dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada gandingan itu yang disifatkannya sebagai lambang kegigihan, disiplin dan keazaman tanpa mengenal erti putus asa.
“Syabas dan tahniah kepada Pearly dan Thinaah atas kejayaan menjuarai Terbuka Artik 2025.
“Kalian bukan sahaja kebanggaan negara, malah sumber inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kejayaan pasangan itu membuktikan bahawa semangat juang tinggi dan kerja keras mampu mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Ayuh kita terus berdiri teguh di belakang wira dan wirawati sukan tanah air, memberikan doa dan sokongan padu agar lebih banyak kejayaan dapat dilakar untuk Malaysia,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa atlet negara mampu menyaingi jaguh dunia apabila berjuang dengan penuh tekad dan semangat Malaysia Boleh!- KOSMO! ONLINE.