PETALING JAYA – Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad akhirnya mendedahkan alasannya meninggalkan program Wanita Hari Ini (WHI) kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap penerbitan filem pertamanya berjudul Ragging – Melawan Bungkam.
Ujar Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, langkah itu bukan keputusan tergesa-gesa, sebaliknya sudah dirancang bersama pasukannya sejak beberapa bulan lalu.
“Sejak saya keluar dari Wanita Hari Ini, soalan paling kerap orang tanya adalah ‘Uyaina buat apa sekarang?.
“Selepas berbulan-bulan membuat persiapan dengan pasukan, akhirnya saya boleh berkongsi sesuatu yang istimewa dengan anda semua.
“Saya bakal menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi. Tajuknya Ragging – Melawan Bungkam, kini sedang dalam proses pembikinan,” katanya dalam Instagram.
Tambah pelakon drama Kau Cipta Kasih itu, naskhah tersebut diinspirasikan daripada kisah benar berkaitan budaya buli dan ‘ragging’ yang tidak pernah berakhir, malah semakin membimbangkan.
“Saya terpanggil menghasilkan filem ini kerana terlalu banyak ketidakadilan dan nyawa melayang akibat budaya buli.
“Sudah tiba masa kita bersuara dan menamatkan kitaran ngeri ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, ibu tiga anak itu berkata, proses penggambaran video ‘sizzler’ baru sahaja bermula, dan pengalaman mengarah buat pertama kali menjadi cabaran baharu dalam perjalanan seninya.
“Jujur saya gementar, tapi pada masa sama rasa teruja luar biasa. Selalunya saya berdiri di depan kamera, kini di belakang pula.
“Namun kepuasan melahirkan karya sendiri benar-benar memberi makna,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pengacara TV Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu bersyukur kerana dikelilingi pasukan produksi yang bukan sahaja profesional, tetapi banyak mengajarnya memahami dunia penerbitan dan penulisan skrip.
“Pengacaraan, lakonan dan advokasi tetap sebahagian daripada diri saya.
“Kali ini, saya melangkah ke dunia baharu sebagai penerbit dan penulis skrip.
“Masih banyak yang perlu dipelajari, tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi individu hebat yang tidak lokek berkongsi ilmu,” luahnya.
Terdahulu, setelah hampir satu dekad mencurahkan bakti sebagai pengacara WHI, Uyaina mengejutkan ramai dengan mengumumkan pengunduran dirinya daripada program bual bicara popular itu.
Tiada sengketa, dia menegaskan semua itu adalah keputusan peribadi dan bukannya disebabkan mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE.