fbpx
Nancy (kanan) pada sidang akhbar selepas Larian Kasih Fun Run di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KPWKM sedia beri kaunseling kepada keluarga pelajar mangsa noda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memberi sokongan psikososial termasuk kaunseling kepada keluarga remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol dua pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Melaka baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementerian melalui pegawai pelindung dan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bertindak segera sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

“Seperti biasa, kita terus bertindak. Pegawai pelindung kita sudah pergi ke hospital semalam, dan hari ini kaunselor kita akan melawat keluarga mangsa.

“Bagaimanapun, kita beri ruang kepada keluarga serta pihak polis yang sedang menjalankan siasatan. Jika keluarga perlukan bantuan lanjut, terutamanya jika mengalami trauma, kita sentiasa bersedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Larian Kasih Fun Run KPWKM di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Nancy berkata, pihaknya mengambil serius kejadian tersebut kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan.

“Saya pun berasa bimbang kerana anak-anak dan cucu kita semuanya pergi ke sekolah. Jika sekolah sudah tidak lagi menjadi tempat yang selamat, apa akan jadi kepada masyarakat kita?” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, KPWKM akan terus memperkukuh program advokasi dan keibubapaan (parenting) bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa serta pelajar mengenai keselamatan dan nilai moral.

“Kita memang ada program keibubapaan, tapi biasanya golongan yang kita sasarkan tidak hadir. Walau begitu, kita tidak akan berputus asa.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak polis dalam aspek advokasi supaya anak-anak tahu kesan terhadap masa depan mereka jika terlibat dalam salah laku sebegini,” katanya.

Menurutnya, kementerian melalui agensi di bawahnya juga akan terus turun ke sekolah bagi melaksanakan program pendidikan dan kaunseling, selain memberi tumpuan kepada aspek pembentukan sahsiah pelajar.

“Kami akan terus menjalankan program di sekolah agar pelajar dapat memahami nilai dan batas tingkah laku yang sesuai.

“Diharapkan semua pihak, termasuk keluarga dan komuniti, dapat memainkan peranan bersama bagi membentuk persekitaran yang sihat dan selamat untuk anak-anak kita,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, mengalami trauma selepas dipercayai menjadi mangsa rogol oleh dua pelajar senior di dalam kelasnya sendiri dalam kejadian pada 2 Oktober lalu.

Kejadian terbongkar apabila ibu mangsa menerima maklumat daripada pihak sekolah mengenai penyebaran video tidak senonoh membabitkan anaknya sebelum membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI