PETALING JAYA – Empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disyaki terlibat dalam kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka masih dibenarkan menduduki peperiksaan itu yang dijadualkan bermula November ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, hak calon untuk menduduki peperiksaan tidak boleh dinafikan selagi siasatan kes belum selesai dan keputusan muktamad belum dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah.
“Kebenaran mengambil peperiksaan SPM tidak sama sekali mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan,” tegas KPM.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan selaras dengan langkah yang pernah diambil dalam kes serupa di Sabah pada tahun 2019 melibatkan tujuh murid.
Bagaimanapun, KPM menegaskan bahawa tindakan disiplin tetap akan dikenakan sebaik sahaja siasatan selesai.
“Lembaga Tatatertib Sekolah akan menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap murid yang didapati bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, KPM memandang serius kesejahteraan murid yang menjadi mangsa dan menegaskan bahawa pelajar berkenaan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital serta diberikan sokongan psikososial bagi membantu aspek mental dan emosi.
“Semua murid yang disyaki terlibat telah ditahan reman dan siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu lagi.- KOSMO! ONLINE