SEPANG – “Kami pulang bukan sebagai hero atau wira, tapi sebagai aktivis yang menyambung perjuangan bagi menunjukkan kezaliman Israel kepada dunia.”
Demikian kata peserta Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG), Dr. Mohd. Affandi Salleh sebaik tiba di tanah air selepas ditahan oleh rejim Zionis Israel minggu lalu.
Beliau berkata, misi kemanusiaan yang disertainya itu bukan bertujuan untuk mencari pengiktirafan, sebaliknya mendedahkan kepada dunia tentang kejahatan Israel yang bukan sahaja menyeksa rakyat Palestin, tetapi seluruh kemanusiaan.
“Kami ditangkap dan diculik di lautan antarabangsa sekitar 130 batu nautika dari pesisir yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Keganasan Israel ini bukan hanya berlaku di tanah Gaza, tetapi juga di laut,” katanya pada sidang akhbar di Balai Ketibaan Domestik, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut beliau, walaupun bilangan sukarelawan Malaysia adalah kecil dan kebanyakan peserta bukan Islam, mereka semua bersatu atas semangat kemanusiaan sama iaitu untuk mempertahankan keadilan bagi rakyat Palestin.
Katanya, perjuangan membebaskan Palestin bukan sekadar isu politik atau agama, sebaliknya naratif kemanusiaan sejagat yang menyatukan dunia dari Timur hingga ke Barat.
“Kita pergi bukan untuk menjadi hero atau mati syahid, tetapi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa inilah usaha kecil yang kami mampu lakukan demi menzahirkan kejahatan dan kezaliman Israel,” katanya. – KOSMO! ONLINE