PETALING JAYA – Seorang lelaki membuat pendedahan di media sosial mampu berpoligami walaupun hanya memiliki pendapatan RM1,500 sebulan.
Menerusi tangkap layar status WhatsApp, hasrat lelaki itu yang mahu berkahwin lain dengan alasan semakin bosan dengan isteri pertama mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
“Aku baru kahwin dua tahun dengan isteri aku. Tahun pertama memang bahagia, masuk tahun kedua selepas isteri bersalin anak pertama, aku jadi macam bosan dengan isteri.
“Lagi-lagi (Tambahan pula) aku tengok dia tiada langsung nak jaga badan, kecantikan sedangkan tiap-tiap bulan aku bagi duit RM50, boleh je nak beli apa-apa untuk melawa,” kata lelaki itu.
Katanya, situasi tersebut membuatkan perkahwinan mereka kurang harmoni sehingga dia bercadang untuk berkahwin seorang lagi.
“Aku rasa aku mampu, basic (gaki pokok) tambah OT (kerja lebih masa) dalam RM1,500 macam itu. Jadi tak ada masalah nak tambah lagi seorang (isteri). Korang (kalian) rasa macam mana?,” katanya yang meminta pandangan umum.
Rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan kemampuan lelaki tersebut untuk menanggung dua keluarga, sedangkan ramai pasangan muda sedang bergelut untuk menyara kehidupan walaupun cuma berdua.
“(Gaji) RM1,500 pun kadang-kadang tak cukup untuk seorang, apatah lagi nak bahagi dua rumah tangga,” kata seorang pengguna.
Selain sindiran dan kritikan, ada netizen yang menasihatkan lelaki itu agar lebih rasional dan memahami tanggungjawab sebenar seorang suami.
“Abang kahwin ini bukan sekadar mampu menikah, tetapi wajib menyediakan nafkah zahir dan batin secara adil. Pendapatan kau tu duduk kampung pun masih ‘keras’, kau boleh berangan nak kahwin dua. Bukan nak halang, tapi kau belum layak,” tegur pengguna lain. – KOSMO! ONLINE