fbpx
Fadhlina (tengah) selepas menghadiri sesi taklimat di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka berhubung kes pelajar tingkatan tiga yang mendakwa dinoda secara bergilir-gilir oleh empat pelajar senior. Foto oleh AMRAN ALI / KOSMO!

Mangsa salah laku seksual terima sokongan emosi – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan sokongan emosi dan perlindungan menyeluruh kepada pelajar perempuan tingkatan tiga yang disyaki menjadi mangsa salah laku seksual di sebuah sekolah di negeri ini baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, remaja itu kini dirawat di hospital dan menerima sokongan emosi daripada kakitangan perubatan yang berpengalaman.

“Semua tindakan telah diambil oleh bahagian masing-masing khususnya dalam memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak ini terjamin.

“Pelajar itu dirawat di hospital dan mendapat sokongan emosi daripada pegawai perubatan terlatih bagi membantu proses pemulihannya,” katanya selepas sesi taklimat di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka di sini semalam.

Turut hadir dalam sesi yang diadakan secara tertutup itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Mohd. Azam Ahmad dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Menurut Fadhlina, selain mangsa, kementerian turut menumpukan perhatian kepada kesejahteraan emosi guru dan pelajar lain di sekolah sama bagi memastikan suasana pembelajaran tidak terganggu.

“Kaunselor akan turun ke sekolah untuk memberikan sokongan penuh kepada seluruh warga sekolah, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka tidak terganggu dengan insiden ini.

“Empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dibenarkan menduduki SPM dan kita akan pastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan,” ujarnya.

Fadhlina menegaskan kes tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan KPM akan terus memantau aspek disiplin serta intervensi psikososial di sekolah berkenaan.

Semalam, Datuk Dzulkhairi mengesahkan empat pelajar tingkatan lima direman selama enam hari bermula semalam hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada 2 Oktober lalu.

Insiden terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah mengenai penyebaran video berkenaan sebelum membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI