JAKARTA – Seorang warga emas berusia 74 tahun mengundang perhatian ramai apabila berkahwin dengan seorang wanita muda dan memberikan mas kahwin berjumlah 3 bilion rupiah (RM770,000), lapor portal berita Lambe Turah.
Majlis perkahwinan itu berlangsung di Pacitan, wilayah Jawa Timur pada Rabu lalu.
Pengantin lelaki dikenali sebagai Tarman, manakala isterinya, Shela Arika baru berusia 24 tahun.
Perkahwinan mereka tular apabila pemilik syarikat yang menawarkan perkhidmatan videografi mendedahkan bahawa pasangan itu melarikan diri dan tidak membuat pembayaran.
“Saya merupakan salah seorang mangsa yang masih belum dibayar. Ini pertama kali saya ditipu sepanjang saya menjalankan perniagaan ini,” kata pemilik itu.
Polis tempatan bagaimanapun mengesahkan bahawa Tarman tidak melarikan diri, sebaliknya sedang bercuti bersama isterinya di Wonogiri. – AGENSI