BANDAR GAZA – Gencatan senjata di Gaza kekal berkuat kuasa ketika bantuan mula disalurkan, manakala Israel dijangka menerima 48 tebusan dengan hanya 20 daripada jumlah itu dianggap masih hidup, lapor agensi berita United Press International.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bantuan seperti perubatan, bahan api dan bekalan lain yang diperlukan mengalir masuk ke Gaza susulan gencatan senjata.
Tentera Israel mula berundur ke kawasan garis penempatan semula yang ditetapkan sebagai persediaan untuk pemulangan 48 tebusan termasuk 28 mayat, demikian menurut Utusan Asia Barat Presiden Donald Trump, Steve Witkoff.
Pembebasan tebusan itu dijadualkan berlangsung esok.
Tiada permusuhan berlaku di Gaza sekali gus membenarkan penduduk Palestin untuk pulang ke rumah mereka yang kebanyakannya musnah akibat perang.
Berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin mula kembali ke bandar dan kampung yang sebahagian besarnya musnah, demikian menurut saluran berita Al Jazeera.
Israel turut bersetuju untuk membebaskan hampir 250 tawanan Palestin selain memaklumkan kepada ahli keluarga mereka mengenai pembebasan itu. – AGENSI