KABUL – Pemerintahan Taliban di Afghanistan berkata hari ini bahawa tenteranya membunuh 58 askar Pakistan dalam pertempuran sempadan yang meletus antara dua negara jiran itu semalaman.
“Seramai sembilan tentera Taliban turut terbunuh,” kata jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid pada sidang akhbar di Kabul.
Saluran berita Al Jazeera melaporkan, 30 tentera Pakistan turut cedera dalam pertempuran itu susulan serangan udara ke atas ibu kota Afghanistan, Kabul awal minggu ini.
“Sejumlah besar senjata Pakistan juga jatuh ke tangan tentera Afghanistan,” tambah Zabihullah seperti laporan agensi berita TOLO milik Afghanistan.
Pakistan masih belum mengulas mengenai dakwaan Taliban itu.
Namun, pertempuran semalaman menandakan peningkatan mendadak dalam ketegangan antara dua negara jiran itu, yang mendorong seruan untuk berundur oleh Iran, Qatar dan Arab Saudi.
Zabihullah berkata, operasi malam tadi oleh tentera Afghanistan dihentikan atas permintaan Qatar dan Arab Saudi.
Pada Khamis lalu, dua letupan kedengaran di Kabul dan satu lagi di tenggara negara itu.
Keesokan harinya, kementerian pertahanan yang dikendalikan Taliban menyalahkan serangan ke atas Pakistan, dengan menuduh jirannya itu melanggar kedaulatannya.
“Sebagai tindak balas terhadap serangan udara yang dilakukan oleh tentera Pakistan ke atas Kabul, tentera Taliban terlibat dalam pertempuran hebat terhadap pasukan keselamatan Pakistan di pelbagai kawasan di sepanjang sempadan,” kata tentera Afghanistan dalam satu kenyataan.
Jurucakap kementerian pertahanan Taliban, Enayat Khowarazm memberitahu AFP bahawa ‘operasi yang berjaya’ itu berakhir pada tengah malam. – AFP/AGENSI