BEIJING – Seorang wanita tua di Hangzhou, China dimasukkan ke hospital selepas menelan lapan ekor katak hidup untuk merawat sakit belakang, lapor portal berita Oddity Central.
Selepas mendengar khabar angin bahawa menelan katak hidup boleh melegakan sakit belakang, wanita itu meminta beberapa saudaranya menangkap haiwan tersebut yang bersaiz sederhana untuknya.
Pada hari pertama, wanita yang dikenali sebagai Zhang itu menelan lima ekor katak hidup sebelum menambah tiga ekor lagi keesokan harinya sebelum dia mengalami sakit perut.
Apabila tidak lagi mampu menahan kesakitan, barulah Zhang mengaku kepada keluarganya bahawa dia telah menelan lapan ekor katak hidup.
Wanita itu kemudian dikejarkan ke Hospital Pertama Universiti Zhejiang, di mana doktor menjalankan beberapa ujian dan mendapati dia mendapat jangkitan parasit atau gangguan darah.
“Menelan katak hidup telah merosakkan sistem penghadaman pesakit dan membolehkan parasit masuk ke dalam tubuhnya,” kata seorang doktor kepada wartawan.
Sambil menjelaskan bahawa Zhang dijangkiti cacing pita Sparganum, sejenis parasit yang biasa ditemui pada mereka yang memakan atau menyentuh katak dan ular hidup.
Selepas dua minggu menerima rawatan di hospital, Zhang pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang. – AGENSI