PETALING JAYA – Berdepan saman RM2 juta, anak pelakon Datuk Aaron Aziz iaitu Dwi Ariana menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur ugutan mahupun buli terhadap pempengaruh media sosial, Sharina Richie.
Tampil membela diri, Ariana, 19, berkongsi tangkap layar mesej yang dihantar kepada Sharina dengan niat ingin menjelaskan mengenai impak video yang dimuat naik pempengaruh berkenaan bapanya.
“Tangkapan layar di bawah menunjukkan apa yang saya telah hantar kepada dia pada minggu lepas dan itulah satu-satunya mesej yang saya kirim.
“Tiada ugutan dan tiada buli. Saya hanya cuba menjelaskan secara baik kesan yang dia telah lakukan terhadap ayah.
“Saya juga cuba meraih simpati agar dia memadamkan video tersebut demi adik perempuan saya yang baru berumur 15 tahun,” katanya dalam platform Threads.
Dalam masa sama, Ariana berkata, Sharina tidak membalas sebarang mesej yang dihantarnya.
“Apabila dia langsung tidak membalas mesej saya, barulah saya memilih untuk berkongsi tangkap layar ini secara terbuka.
“Saya mungkin baru berumur 19 tahun tetapi sebagai seorang yang berpendidikan dan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi, saya tahu untuk tidak membuli sesiapa,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Aaron terkejut apabila menerima surat tuntutan (LOD) daripada Sharina yang didakwa bakal memfailkan saman berjumlah RM2 juta terhadap Dwi Ariana.
Konflik antara keluarga Aaron dan Sharina bermula selepas tular sebuah video yang mendakwa aktor tersebut berkongsi pendapat berkaitan isu Gaza, Palestin dalam kalangan selebriti.
Rentetan itu, Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin tanpa mengetahui video tersebut hanyalah potongan daripada rakaman asal sekali gus mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, Sharina tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron dan mendakwa dirinya terus menjadi mangsa kecaman meski sudah memadam video tersebut.
Dia juga turut membuat laporan polis selepas mendakwa menerima pelbagai bentuk ancaman terhadap dirinya dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung situasi tersebut. – KOSMO! ONLINE