BANGKOK – Seorang usahawan durian terkenal di Thailand menjadi tular selepas menawarkan 30,000 baht (RM3,900) kepada sesiapa yang sanggup menampar perempuan simpanan anak lelakinya, lapor portal berita VnExpress.
Arnon Rodthong yang memiliki sebuah gudang durian utama di daerah Lang Suan, selatan Thailand membuat tawaran tersebut dalam satu hantaran di Facebook awal minggu ini.
“Saya sanggup bayar 30,000 baht kepada sesiapa yang menampar perempuan simpanan anak saya.
“Anda mesti tampar muka dia sekurang-kurangnya sepuluh kali,” katanya seperti dipetik oleh portal berita Thaiger,.
Arnon menambah bahawa wanita itu layak ditampar kerana menjalin hubungan sulit.
Dia menjelaskan bahawa wanita berkenaan pernah bekerja dengannya dan telah berkahwin dengan anak saudaranya, namun kemudian terlibat dengan anak lelakinya yang sudah beristeri.
Arnon berkata, hantaran itu dibuat untuk mempertahankan menantu perempuannya yang tidak bersalah dan bagi meyakinkan anaknya supaya memutuskan hubungan sulit tersebut.
Menyedari implikasi undang-undang yang mungkin timbul, Arnon menarik balik tawaran tersebut dan sebaliknya memutuskan hubungan dengan anaknya.
Dia turut mengisytiharkan bahawa semua aset yang sebelum ini didaftarkan atas nama anaknya akan ditarik balik dan diberikan kepada cucunya. – AGENSI