PORT DICKSON – Ekspresi seni melalui ‘Doodle Art’ yang menghimpunkan budaya serta tarikan istimewa di Negeri Sembilan menjadi antara keunikan lukisan mural terbaharu di pantai peranginan popular itu.
Pelukis mural, Muhammad Huzaifah Mohd Basir, 26 berkata, projek di bawah Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) itu merupakan projek terbaharu oleh Jepah Studio bagi meningkatkan lagi tarikan sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026 serta Tahun Melawat Malaysia (TMM).
Menurutnya yang berasal dari Ipoh, Perak, dia bersama enam lagi rakan berusia 23 hingga 33 tahun sudah menyiapkan satu daripada tiga projek mural terbaharu di daerah ini dengan tema utamanya wanita berpakaian Negeri Sembilan yang mengenakan telapuk.
“Bagi pelukis mural seperti kami ini, peluang bermain dengan kretiviti serta mengetengahkan elemen setempat serta negeri amatlah berharga. Malah, ia menjadi kepuasan buat kami apabila mural ini menjadi tarikan untuk pelancong datang ke sini.
“Secara tidak langsung, kami turut menyumbang kepada sektor pelancongan negara melalui paparan lukisan yang dihasilkan oleh rata-ratanya merupakan graduan seni halus universiti awam di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Muhammad Huzaifah berkata, selain PD Waterfront yang sepanjang kira-kira 106 meter dengan ketinggian tujuh meter itu, mereka juga akan meneruskan projek baharu di dua lokasi iaitu di Jalan
Dato K. Pathmanban dan Pantai Batu 4 yang dijadualkan siap pada Disember.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd Hamid berkata, lukisan mural terbaharu berkenaan merupakan sebahagian persediaan pihaknya dalam proses mengindahkan bandar dengan landskap menarik.
“Kami berharap agar pelancong mahupun penduduk setempat dapat menikmati sendiri keunikan yang ada di negeri ini melalui lukisan mural terbaharu yang kami hasilkan sempena TMNS2026,” katanya.














