fbpx
Tangkap layar video Dr Fauziah salah seorang delegasi Malaysia yang tiba di Istanbul, Turkiye semalam.

‘Sebak, mereka juga pakai t-shirt putih sebagai tudung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesemua peserta wanita dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) meruntun hati orang ramai apabila turut mengenakan baju t-shirt putih sebagai tudung apabila tiba di Istanbul, Turkiye semalam.

Rakaman memaparkan keadaan peserta-peserta wanita ketika tiba di lapangan terbang semalam mengesahkan mereka turut dinafikan hak untuk berhijab ketika menjadi tahanan di Penjara Ktzi’ot di Israel.

Antara delegasi wanita ialah Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Maziah Muhammad, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar.

Buat aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Farah Lee yang sebelum ini turut menjadi tahanan Israel, situasi itu mengingatkannya kepada pengalaman getir apabila hak berhijab turut dinafikan.

“Welcome back (selamat pulang) Auntie Dr Fauziah, Auntie Norsham and the rest of the crews (dan semua kru).

“Nampak dorang pakai t-shirt putih juga jadikan tudung, jadi sebak sebab ‘triggered’ (mencetuskan) memori dalam penjara,” tulisnya dalam Insta Story.

Bagaimanapun, kesemua peserta Malaysia kelihatan tenang dan masih mampu mengukir senyuman ketika ditemui media di lapangan terbang.

Mereka juga menzahirkan semangat kental untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin meskipun baru melalui detik mencabar di bawah tahanan rejim Zionis.

Dr Fauziah dalam satu temubual juga sempat berkata kesukaran dan seksaan yang dilaluinya di Penjara Ktzi’ot adalah secebis daripada apa yang dilalui oleh rakyat Gaza, Palestin.

“Apa yang kita lalui memang teruk dan pelbagai tahap tetapi apa yang kita dapat ini hanyalah secebis dengan masyarakat Palestin yang berada di penjara Ktzi’ot. Sebab penjara ini menempatkan mana yang pengganas, dia letakkan di sini.

“Kami semua merasakan walaupun keadaan susah tetapi alhamdulillah tetapi jauh beza daripada apa yang dilakukan kepada rakyat di Gaza dan Palestin.

“Perjalanan ini panjang lagi, selagi mereka (Israel) tak hentikan genocide, kita akan teruskan berlayar,” katanya.

Dr. Fauziah turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Turkiye yang membantu untuk membebaskan delegasi Malaysia dari tahanan Israel.

Semalam, Kementerian Luar mengesahkan semua sembilan warga Malaysia yang mengikuti misi kemanusiaan FFC x TMTG telah dibebaskan semalam.

Menurut Wisma Putra, mereka telah dibawa keluar dari Israel melalui Penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).

Delegasi Malaysia yang lain terlibat ialah Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Mohd. Afandi Salleh dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Kesemua mereka antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang disertai mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI