PORT DICKSON – Keterujaan sebuah keluarga untuk menyambut Deepavali berkecai apabila rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran di Taman Mayung di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Mohd Zulfadzli Osman berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.18 malam dan tiba di lokasi yang terletak 1.5 kilometer tiga minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sampai di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah teres jenis kekal sedang terbakar di bahagian dapur.
“Pasukan keluaran operasi berjaya mengawal kebakaran membabitkan kediaman mangsa iaitu lelaki berusia 50 an itu pada pukul 11.27 malam dan bahagian dapur dianggarkan musnah kira-kira 85 peratus.
“Dalam kejadian ini, tiada mangsa yang terlibat serta mengalami kecederaan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian kini dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE