PETALING JAYA – Reformasi yang digerakkan oleh Kerajaan Perpaduan akhirnya diterjemahkan kepada tindakan dan hasil nyata menerusi pembentangan Belanjawan 2026 semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan tersebut membuka lembaran baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sekali gus memaknakan erti reformasi secara menyeluruh.
“Setelah berani mengusung reformasi, inilah masanya memulangkan hasil kepada rakyat. Belanjawan ini mengangkat keberanian dalam menegakkan tadbir urus, menurunkan defisit, memperkukuh kebajikan dan melonjakkan ekonomi bernilai tinggi,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Menurut Anwar, pendekatan yang dibawakan menerusi belanjawan itu adalah gabungan antara disiplin dan nurani demi membentuk masa depan Malaysia yang lebih adil, makmur dan bermaruah.
Beliau berkata, segala inisiatif yang digariskan juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyalurkan manfaat terus kepada rakyat melalui pendekatan berhemah. – KOSMO! ONLINE.