PARIT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan terus memerangi rasuah dan mengembalikan hasil negara yang dirompak selagi mandat diterima dari rakyat belum berakhir.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu sahaja, kerajaan pimpinannya telah berjaya merampas RM15.5 bilion hasil negara yang dirompak akibat daripada kegiatan tersebut.
“Maknanya berapa lama rompakan dan kerja ‘sauk’ ini berlaku. Baru dua tahun, kerana itulah saya tegas mengatakan kepada semua badan dan agensi penguatkuasaan, tiada kompromi, tiada korupsi, tiada penyeludupan dan tidak kepada sindiket dan kartel.
“Musnahkan mereka kerana mereka mencuri dari rakyat dan dengan mandat sebagai Perdana Menteri ini, kami mahu memastikan negara ini menjadi lebih baik,” katanya ketika berucap di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia Melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi pada Program Temu Anwar di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar hari ini.
Anwar berkata, tindakannya memerangi salah laku berkenaan dengan tegas tidak bermakna ia tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, ia tidak dilaksanakan setegas yang dilaksanakan kerajaannya walaupun beliau berpandangan masalah rompakan wang rakyat berkenaan belum ditangani sepenuhnya.
“Menjadi impian saya, dengan tempoh beberapa tahun yang ada ini untuk Insya-Allah membersihkan masalah ini. Saya tak peduli apa yang mereka nak kata. Ia tidak mengganggu saya,” katanya.
Pada program tersebut, Anwar turut menyempurnakan gimik peluncuran rasmi panel solar bumbung tunggal terbesar di Malaysia.
Ia merupakan sistem solar fotovoltaik (PV) UTP yang dibangunkan bersama Gentari terdiri daripada lebih 13,000 modul PV yang meliputi kawasan seluas 36,000 meter persegi.
Anwar turut meluangkan masa meninjau Jabatan Kejuruteraan Bersepadu UTP yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian serta diberi taklimat ringkas mengenai program penyelidikan universiti itu dalam bidang pelakuran nuklear (nuclear fusion) dan bahan pintar (smart materials) – KOSMO! ONLINE