fbpx
PENGUNJUNG menikmati keindahan alam sekitar yang berlatar belakangkan bukit dan sawah padi menghijau di Balbuk Haus Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar, Perlis.

Perlis, negeri yang dirindui pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tak kenal maka tak cinta. Pepatah itu tepat menggambarkan Perlis yang memiliki daya tarikan tersendiri hingga mampu membuatkan orang luar jatuh cinta.

Meskipun menjadi negeri terkecil di Malaysia dan bersempadan dengan Thailand, Perlis menawarkan keindahan alam semula jadi yang unik dan masih terpelihara.

Kedamaian dapat dirasai kerana aliran trafik di negeri itu yang tenang dan lancar, tidak sesak seperti di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kecuali pada musim cuti perayaan.

Bagi golongan muda, ratusan kafe hipster yang terdapat di serata negeri menawarkan suasana santai, moden dan estetik, sesuai untuk ‘healing’ bersama keluarga.

Jika disebut tentang makanan pula, banyak hidangan tempatan yang memikat selera seperti ikan bakar, sotong goreng tepung dan laksa Kuala Perlis.

Berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Perlis merekodkan kemasukan 2.99 juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun lalu.

Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, Perlis dijangka terus menjadi destinasi pilihan pelancong sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Perlis mempunyai 160 kedai kopi yang boleh dinikmati oleh pelancong selain makanan yang murah dan sedap. Negeri ini juga terkenal dengan suasana yang menenangkan serta panorama memukau seperti sawah padi dan bukit-bukau yang indah,” katanya.

Namun begitu, Perlis tidak mempunyai pusat beli-belah mega atau panggung wayang, tetapi sebuah kompleks beli-belah di Kangar Jaya yang dilengkapi pawagam dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Mungkin disebabkan itu, ada segelintir pelajar luar yang merungut kerana merasakan Perlis ‘tiada apa-apa’.

Pempengaruh media sosial, Mohd. Hafiz Md. Yatim atau lebih dikenali sebagai Aizat Hafiz berkata, persepsi itu pernah tular apabila pelajar luar mengeluh kerana ditempatkan di universiti di utara tanah air itu.

“Mereka beranggapan Perlis kurang maju dan jauh, tetapi sebenarnya negeri ini mempunyai daya tarikan tersendiri,” katanya.

Menurutnya, Perlis juga mempunyai ‘racun’ yang membuatkan sesiapa sahaja rindu untuk kembali, malah ada yang memilih untuk menetap di sini.

“Perlis kaya dengan alam semula jadi seperti Bukit Keteri yang menjadi tumpuan peminat sukan memanjat dinding batu dan Lembah Chuping yang menawarkan pemandangan hijau seperti di luar negara,” ujarnya.

Aktiviti seperti meredah hutan di Bukit Gua Cenderawasih dan Pintu Wang Ulu serta penerokaan gua batu kapur di Gua Kelam dan Gua Wang Burma turut jadi tarikan.

Di Kampung Wai pula, ujarnya, pengunjung boleh menikmati kopi sambil menikmati pemandangan sungai yang dikelilingi sawah padi dan bukit bukau serta mencuba bot pedal atau kayak untuk menelusuri terowong air terpanjang dalam negara.

“Perlis juga terkenal dengan makanan murah dan sedap di restoran estetik seperti Sadiah Cafe, Warung Tepi Sawah, Arau Kopi dan Suri.

Beliau menambah, kemudahan di negeri itu lengkap termasuk pengangkutan awam, e-hailing dan penghantar makanan, manakala akses ke Perlis mudah melalui Stesen KTMB Arau dan Padang Besar, Kangar Sentral serta Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN