IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanfaatkan peningkatan peruntukan yang diterima bagi program Rakan Muda untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan yang diterima pada Belanjawan 2026 sebanyak RM40 juta itu dijangka membantu memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan kementerian.
“Salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang kita mahu adalah menggunakan program Rakan Muda untuk membantu mengurangkan pengangguran golongan belia.
“Antara faktor menyumbang kepada masalah pengangguran golongan itu ialah kekurangan kemahiran termasuk penguasaan bahasa Inggeris.
“Jadi, di bawah inisiatif Rakan Mahir, peruntukan tambahan yang kita ada ini akan digunakan untuk memperkasakan kemahiran golongan belia supaya mereka lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan sekali gus kadar pengangguran itu dapat diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bulatan Sultan Azlan Shah sini hari ini.
Menurut Hannah, peningkatan peruntukkan yang diterima itu juga signifikan memandangkan peruntukan sebelum ini tidak cukup untuk menampung pelbagai aktiviti di peringkat daerah.
“Kita ada 10 gaya hidup di bawah Rakan Muda dan bila kita agihkan ke peringkat daerah, peruntukan yang ada memang tidak cukup untuk melaksanakan projek khas.
“Dengan penambahan kali ini, kita akan menyalurkan peruntukan secara lebih spesifik supaya dapat mencapai KPI yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan yang diterima KBS dalam Belanjawan 2026, beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan beliau terhadap program yang dilaksanakan oleh kementerian bagi kumpulan sasaran khususnya belia dan mereka yang terlibat dalam bidang sukan.
Katanya, peningkatan dana daripada RM10 juta kepada RM12 juta bagi Dana Sukan Komuniti dan program Road to Gold selain mengekalkan peruntukan Geran Padanan Sukan amat penting bagi memperkasakan pembangunan sukan negara.
“Untuk persediaan Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027, kita dapat RM120 juta. Yang saya gembira, peruntukan untuk program Rakan Muda meningkat 60 peratus daripada RM25 juta kepada RM40 juta.
“Hasrat kita kini adalah untuk melicinkan permohonan Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti supaya duit ini sampai kepada peringkat akar umbi bagi melaksanakan latihan dan juga persediaan sukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE