KEMAMAN – Anak sulung pengusaha satar terkenal di daerah ini, Aziz Satar tidak menyangka hasrat ibunya mahu berpindah baru-baru ini rupa-rupanya petanda pemergian kedua orang tuanya dalam nahas di Kilometer 162.9, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Maran, Pahang, malam tadi.
Rosmaini Aziz, 45, berkata, ibunya, Hasnah Mat Nong, 64, kerap kali memberitahu kepada dia dan 10 adik-beradiknya mahu berpindah.
“Tidak pula ibu beritahu hendak berpindah ke mana, tak sangka pula rupa-rupanya ia petanda dia bersama ayah (Aziz Awang, 68) mahu berpindah ke alam lain,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman di sini hari ini.
Jenazah suami isteri tersebut selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut pada pukul 11 pagi dengan dihadiri lebih 300 ahli keluarga dan kenalan.
Rosmaini berkata, ibunya, Hasnah yang sebelum ini tidak gemar berjalan-jalan tiba-tiba bersungguh-sungguh mahu mengikut mereka melancong ke Cameron Highlands, Pahang pada Rabu lalu.
Dia berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang, kenderaan pikap jenis Toyota Hilux turut dinaiki tiga pekerja dan seorang anak pekerja mereka dipandu bapanya, Aziz yang biasa memandu jarak jauh.
“Sebelum bertolak, arwah ayah (Aziz) sempat pesan agar saya dan adik-beradik menjaga nama baik Kedai Aziz Satar yang telah diusahakannya sejak 30 tahun lalu.
“Kami mengusahakan perniagaan satar dan keropok lekor dan mempunyai tujuh cawangan di sekitar daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE