KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan aksi cemerlang di pentas antarabangsa apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Arctic 2025, sebentar tadi.
Pasangan No. 2 dunia itu mengesahkan tempat ke final selepas menundukkan beregu pilihan keempat dari Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik, dengan kemenangan 22-24, 21-8, 21-17 dalam tempoh 63 minit di separuh akhir.
Dalam set pertama, Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan lawan apabila tewas 22-24 dalam pertarungan sengit yang memakan masa 22 minit.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Pearly-Thinaah bangkit dengan penuh bergaya pada set kedua dengan corak permainan lebih kemas dan agresif, menamatkan set tersebut dengan kemenangan mudah 21-8 dalam masa hanya 15 minit.
Pada set penentuan, beregu utama negara itu beraksi dengan lebih tenang dan bijak mengawal tekanan, sebelum menoktahkan perlawanan 21-17 di set ketiga sekali gus melebarkan rekod kemenangan kedua mereka ke atas pasangan Taiwan itu, selepas kali pertama menundukkan lawan mereka di Terbuka Jepun pada Julai lalu.
Lebih manis, ini merupakan final keenam buat Pearly-Thinaah pada musim 2025, selepas menjuarai Terbuka Thailand pada Mei selain empat kali muncul naib juara di Indonesia Masters (Januari), Terbuka Indonesia (Jun), Terbuka Jepun (Julai) serta Kejohanan Dunia BWF di Paris, Perancis pada Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE