BAGAN DATUK – Kadar kematian tinggi dalam kalangan generasi muda akibat kemalangan jalan raya khususnya melibatkan motosikal adalah sesuatu yang membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja yang berpotensi untuk menjadi pekerja mahir.
Katanya, perangkaan menunjukkan lebih 82 peratus kematian di jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala 90 peratus mangsa tersebut berusia 30 tahun ke bawah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya berkata, kira-kira 500,000 kemalangan dan lebih kurang 6,000 kematian berlaku di jalan raya di negara ini setiap tahun.
“Ini perangkaan yang amat mengecewakan kerajaan. Jika sebuah padang bola sepak boleh mengisi 1,000 kubur, maka setiap tahun kita ada enam padang untuk mengisi 6,000 kubur,” katanya kerika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Parlimen Bagan Datuk, Peringkat Negeri Perak 2025, di sini hari ini.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memohon dan merayu anak muda di seluruh negara khususnya yang memperolehi lesen motosikal secara percuma, agar sentiasa menyayangi nyawa mereka ketika berada di jalan raya.
“Saya juga ‘biker’ dan menunggang secara berkonvoi dari Medan ke Bali di Indonesia, dari Johor Bahru ke Chiang Rai, Thailand, dari Washington ke California di Amerika Syarikat dan dari Jeddah, Arab Saudi ke Oman.
“Tetapi, saya masih hidup dan tidak cacat kerana saya (menunggang motosikal) (dengan) mematuhi peraturan jalan raya,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE