fbpx
Fadhlina

Noda junior dalam kelas: Pesalah tidak akan dilindungi – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengarahkan pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan pihak polis.

“KPM tidak akan berkompromi terhadap salah laku seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

“Tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pesalah, tiada siapa yang akan dilindungi,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Beliau berkata demikian susulan laporan polis dibuat seorang pelajar tingkatan tiga yang mendakwa dinoda secara bergilir oleh dua pelajar senior di sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah pada 2 Oktober lalu.

Dalam kenyataan itu, Fadhlina turut menzahirkan rasa kesal terhadap kejadian tersebut dan menegaskan komitmen KPM untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan.

“KPM mengambil serius kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang murid di sebuah sekolah di Melaka dan akan memberikan kerjasama penuh.

“Semua pentadbir institusi pendidikan juga diarah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang digunapakai bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI