PUTRAJAYA – Peruntukan Belanjawan 2026 sebanyak RM6.87 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan bekalan negara mencukupi dan sektor agromakanan terus berkembang secara mampan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia turut memperkukuh keterjaminan makanan negara serta kebajikan golongan sasar sektor pertanian.
Katanya, jumlah itu meningkat tujuh peratus berbanding RM6.42 bilion tahun ini dan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran dihadapi petani, pesawah dan nelayan di seluruh negara.
“KPKM yakin bahawa belanjawan yang diumumkan mampu memastikan cabaran sektor agromakanan dapat ditangani. Melalui peruntukan ini, KPKM akan terus memacu sektor agromakanan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030,” katanya.
Menurut Mohamad, antara inisiatif utama yang diumumkan ialah peruntukan RM300 juta bagi kerjasama projek pertanian bersama kerajaan negeri untuk memanfaatkan tanah terbiar, selain RM55 juta bagi membantu pengusaha buah-buahan tempatan termasuk nanas, durian belanda, jambu air dan limau bali.
Tambahnya, kerajaan turut memberi fokus kepada pengukuhan industri padi melalui Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun yang melibatkan projek Sistem Pengairan Tersier Fasa 1 di kawasan MADA, Kedah dan Perlis serta Projek Pemindahan Air Jeniang bernilai RM1.28 bilion.
“Sebanyak RM100 juta turut disediakan untuk memulihkan tanah sawah bermasalah dan menaik taraf prasarana sawah menggunakan teknologi moden, manakala RM20 juta diperuntukkan bagi membekalkan baja foliar kepada 6,400 pesawah di seluruh negara,” katanya.
Ujar Mohamad, dalam masa sama, kerajaan mengekalkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dengan jumlah keseluruhan RM2.62 bilion meliputi subsidi harga padi, baja, benih dan insentif pengeluaran padi.
“Mulai tahun ini juga, kadar insentif pembajakan dan racun masing-masing dinaikkan kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim, selain pengenalan Insentif Penuaian Padi RM50 sehektar semusim yang akan diteruskan pada tahun 2026,” katanya.
Selain itu menurut Mohamad, sebanyak RM1.1 bilion pembiayaan disediakan melalui Agrobank bagi membantu usahawan tani memperkukuh automasi dan mekanisasi, manakala RM20 juta diperuntukkan untuk Program Agropreneur NextGen sebagai geran permulaan dan pengembangan projek.
“Bagi nelayan pula, kerajaan mengekalkan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan, harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter serta memperuntukkan RM160 juta untuk insentif hasil tangkapan dan RM10 juta bagi membina atau membaik pulih 380 rumah nelayan,” katanya.
Mohamad menegaskan, pihaknya akan memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 dilakukan secara telus dan berkesan agar manfaatnya sampai kepada semua golongan sasar serta memperkukuh dasar keterjaminan makanan negara selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2.0. – KOSMO! ONLINE