KUANTAN – Lebih 4,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negeri ini menyertai sambutan Hari Sukan Negara 2025 yang berlangsung serentak di semua Ibu Pejabat polis Daerah (IPD), hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sambutan kali ini bukan sahaja diadakan di peringkat kontinjen negeri di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, malah turut dijalankan di semua daerah melibatkan penyertaan pegawai, anggota serta ahli keluarga masing-masing.
“Program ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi menjadi medium untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga PDRM.
“Pada masa sama ia mengeratkan hubungan silaturahim antara anggota dan keluarga,”katanya ketika ditemui pada program berkenaan di IPK Pahang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, sambutan di peringkat IPD Kuantan berjalan meriah dengan penyertaan ratusan pegawai dan anggota bersama keluarga masing-masing.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuk senamrobik, sepak takraw, kain batik berantai, dat cicak, bola jaring, sepak raga bulat serta pertandingan ‘teka kacang’ yang menawarkan hadiah utama sebuah basikal,” katanya.- KOSMO! ONLINE