PETALING JAYA – Kecoh di media sosial apabila Irdiena Hakim Jasman memuat naik satu hantaran perbualan seolah-olah memberi bayangan kubur Allahyarham ibunya, Faziani Rohban Ahmad yang juga pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, akan digali semula.
Irdiena menerusi hantaran di Thread berkata, keputusan itu dicapai bagi mengetahui punca sebenar di sebalik kemalangan jalan raya yang melibatkan ibunya di Pattani, Thailand pada 2019.
“Kami tak nak, tapi jika ia memaksa maka kami terpaksa Bismillah. Adik beradik Mami (Allahyarham) saya pun mungkin akan tahu keputusan kami melalui hantaran ini.
“Makin banyak kau putar belitkan auta. makin aku syak apa yang sebenar terjadi di sebalik kemalangan itu? Soalan: kemalangan yang terbunuh atau disengaja?,” tulisnya.
Dalam hantaran itu, Irdiena memuat naik satu perbualan WhatsApp antara dirinya dan abangnya berhubung keputusan menggali semula kubur ibu mereka.
“Mg (Mu) setuju tak?”, tulis Irdiena.
“Tapi mu setuju ko kena gali kubur balik? Kalau mu setuju yang itu tak apalah. Aku setuju sebab nak tahu punca,” tulisnya abangnya dalam perbualan itu.
Rentetan itu hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai selain mendoakan agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan.
“Dah lama 2019, boleh ke lagi tahu punca kalau gali balik? Semoga dipermudahkan,” tulis Haqim.
“Keputusan yang bukannya mudah, tapi sebab nak tegakkan keadilan kami semua sokong. Semoga keadilan berpihak kepada Dina,” komen Sheila.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan memerintahkan suami kepada pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 48, untuk mendepositkan semula wang tunai sebanyak RM1.3 juta milik Allahyarham isterinya, Faziani Rohban Ahmad ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka wanita itu.
Hakim Zaini Sulaiman mengarahkan wang tersebut dimasukkan dalam tempoh 30 hari ke akaun yang turut dipegang oleh anak sulung arwah iaitu Aqbar Hakim Jasman, 25, selepas membenarkan permohonan waris.
“Wang tunai milik Allahyarham yang diambil plaintif dari peti besi dan kini berada dalam milikan peribadi. Jadi, ia perlu dimasukkan ke akaun berkenaan sebelum mahkamah memutuskan tuntutan harta sepencarian,” katanya.
Allahyarham Faziani Rohban memiliki lapan orang anak terdiri daripada empat orang anak kandung dan empat orang anak tiri hasil perkahwinannya sebelumnya dan bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim.
Pada 18 Mei 2019, Allahyarham Faziani Rohban, berusia 40 tahun, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand dalam kenderaan dipandu oleh suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim. – KOSMO! ONLINE