KOTA TINGGI – Rokok dipercayai seludup dijumpai dalam salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 56 Lebuh Raya Senai – Desaru sehingga meragut tiga nyawa pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 11.45 pagi melibatkan tiga kenderaan dan tiga maut.
“Kereta terbabit adalah Honda CRV dipandu perempuan warga tempatan berusia 25 tahun, Toyota Fortuner dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan Volkswagen Golf dipandu oleh seorang lelaki dan tiga penumpang lelaki yang belum dikenalpasti.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Fortuner masuk ke laluan bertentangan iaitu laluan Desaru meghala ke Senai, namun Honda CRV yang berada di laluan tersebut sempat mengelak. Sementara Volkswagen Golf yang berada di belakang Honda CRV gagal mengelak dan bertembung depan dengan Toyota Fortuner,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusof, kesemua mangsa sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum terbakar dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Toyota Fortuner disyaki membawa muatan rokok seludup dan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi. Seorang pemandu dan seorang penumpang Volkswagen Golf meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan seorang lagi penumpang sedang mendapatkan rawatan di HSI, manakala pemandu Toyota Fortuner cedera parah dan dirawatan di HSI,” katanya. – KOSMO! ONLINE