LONDON – Pengendali England, Thomas Tuchel gembira pasukannya mudah melakar kemenangan pada aksi pemanas badan selepas menewaskan Wales 3-0 di Stadium Wembley, awal pagi semalam.
Menurut Tuchel, kemenangan tersebut cukup penting buat The Three Lions meraih keyakinan sebelum mengharungi ujian sebenar pada aksi Kumpulan K kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Latvia, minggu depan.
Tuchel berkata, semua pemain telah menunjukkan tahap keserasian yang tinggi persis bermain di peringkat kelab selain mula memahami falsafah bola sepak yang diterapkan.
“Saya suka melihat semangat yang dipamerkan oleh pasukan sepanjang perlawanan dan inilah bola sepak yang kami semua teruja untuk saksikan.
“Mereka beraksi seperti ketika mewakili kelab dan dalam masa sama, kekal fleksibel selain faham dengan tugas masing-masing. Sepatutnya kita boleh menang 5-0, tetapi beberapa peluang telah disia-siakan,” katanya.
Pada perlawanan itu, skuad England yang menduduki ranking keempat dunia berjaya menang hasil jaringan Morgan Rogers, Ollie Watkins dan Bukayo Saka.
Mengulas lanjut, Tuchel mengakui kecewa dengan ribuan penyokong yang hadir ke Wembley apabila tidak memberi sorakan yang diharapkan.
“Saya lihat suasana stadium begitu sunyi dan pemain tidak dapat sokongan daripada peminat walaupun ramai yang hadir pada aksi kali ini,” katanya. – AGENSI