PETALING JAYA – Kecoh di media sosial apabila tular satu video memaparkan sekumpulan individu di Malaysia melakukan gimik solidariti Palestin dengan mengibarkan bendera Israel, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi video yang dimuat naik @_Nrsyudh, kejadian itu dipercayai dirakamkan ketika orang ramai melakukan solidariti beramai-ramai menaiki bot di Sungai Kelantan semalam.
Bagaimanapun, sebuah bot menarik perhatian ramai apabila dilihat membuat gimik dengan berlakon sebagai tentera Israel sambil mengibarkan lima helai bendera rejim itu yang dipacak di atas bot berkenaan.
Selain itu di atas bot berkenaan terdapat beberapa orang berlakon menjadi tentera memegang senjata selain disertai beberapa kanak-kanak yang menyertai sebagai tahanan.
Rentetan itu video itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang menganggap gimik sebegitu tidak perlu dilakukan sehingga sedemikian rupa walaupun sedang bersolidariti.
“Walaupun berlakon ke gimik ke, bendera tu tak layak untuk dikibarkan,” komen Atiqah Aziz.
“Gimik macam ini boleh menimbulkan fitnah. Tak memasal geng Zionis ni bangga kita kibar bendera mereka,” komen Nuha.
“Kalau ya pun nak berlakon, contenglah apa ke dekat bendera tu,” komen Asyraf pula. – KOSMO! ONLINE