KUALA NERUS – Prof. Dr. Mohd Afandi Saleh yang merupakan salah seorang peserta misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) memberitahu beliau menerima layanan teruk sewaktu berada dalam tahanan Tentera Pertahanan Israel (IDF) kepada keluarganya.
Anaknya, Adam Afandi, 20, berkata, bapanya memberitahu diperlakukan secara jauh lebih kejam berbanding pengalaman kali pertama ditahan regim Zionis pada tahun 2018.
“Baba (Afandi) menghubungi umi (ibu) menggunakan telefon bimbit orang lain sejurus tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye, malam tadi.
“Katanya pengalaman berada tahanan tentera Israel kali ini lebih menakutkan menyebabkan umi menangis mengenangkan baba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, sembilan kapal dalam misi kemanusiaan FFC dilaporkan dipintas IDF pada jarak kira-kira 222 kilometer kilometer dari Gaza pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia, Rabu lalu.
Mereka yang dibebaskan dijangka pulang ke tanah air pada esok sesudah selesai urusan dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan di Turkiye. – KOSMO! ONLINE