KOTA BHARU – Pelajar tingkatan satu hingga empat di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dan Machang dibenarkan untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan penularan wabak influenza di kedua-dua sekolah berasrama itu.
Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mat Lazim Mohammad, setakat ini, pelajar dan guru tingkatan lima masih berada di sekolah berkenaan, namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, tempoh PdPR untuk pelajar sekolah berkenaan juga bergantung kepada keadaan semasa berdasarkan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
“Kes pertama dikesan di Sekolah Menengah Sains Machang pada 5 dan 6 Oktober dan diikuti di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh pada 7 Oktober.
“Berdasarkan data yang diperoleh, seramai 51 pelajar Sekolah Menengah Sains Machang mengalami simptom influenza dengan lapan daripada merupakan pelajar tingkatan lima,”katanya ketika ditemui pemberita selepas Edu Fun Walk Madani JPN Kelantan di Stadium Kijang Emas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mat Lazim memberitahu, di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh pula seramai 59 pelajar menunjukkan simptom jangkitan influenza dengan 34 daripadanya terdiri daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia.- KOSMO! ONLINE