MANCHESTER – Pemilik saham terbesar Manchester United, keluarga Glazers dilaporkan bersedia untuk melepaskan pegangan mereka dan menawarkan pemilikan kelab itu sekiranya ada pihak yang bersedia sanggup memenuhi nilai £5 billion (RM28.2 billion).
Ketika ini, khabar angin mengaitkan taikun sukan dan juga jutawan Arab Saudi, Turki Al-Sheikh yang dilapor berminat untuk membeli pemilikan United selepas membuat pendedahan di laman sosial miliknya.
“Berita baik saya dengar adalah Manchester United kini berada pada peringkat seterusnya untuk melengkapkan perjanjian dengan pelabur baharu,” menurut Al-Sheikh menerusi laman media sosialnya.
Bagaimanapun, Al-Sheikh perlu memiliki asas kukuh untuk menyakinkan keluarga Glazers dan bidaan itu akan bermula sekitar nilai £5.2 bilion (RM29.3 billion).
Sebelum ini, keluarga Glazers mula mengambil alih United dengan nilai £790 juta (RM4.45 billion) dan penilaian semasa kelab adalah pada anggaran harga £2 billion (RM11.2 billion)
Walaupun prestasi dalam padang tidak begitu baik, keluarga Glazers menuntut nilai lebih tinggi kerana menjangkakan peningkatan nilai kelab itu pada masa akan datang termasuk sekiranya rancangan pasukan membina stadium baharu lebih canggih diteruskan.
Satu lagi pilihan bagi Glazers adalah menjual sebahagian daripada 48.9 peratus pegangan saham ketika ini dan ia dilihat sebagai usaha untuk memanfaatkan sumber kewangan daripada Arab Saudi bagi membantu kelab itu membina stadium baharu.
Berita mengenai minat Glazer menjual pegangan mereka itu hadir beberapa jam selepas sumber kelab mendedahkan bahawa mereka terkejut mengenai kenyataan Al-Sheikh tersebut dan menafikan kesahihannya. – AGENSI