fbpx
POLIS menjalankan siasatan di sekitar lokasi kejadian itu di Kuala Langat, Selangor semalam.

Dua kenderaan sarat bawa PATI rempuh polis, suspek lolos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Dua kenderaan yang sarat membawa pendatang tanpa izin (PATI) bertindak nekad merempuh kereta anggota polis sehingga lima das tembakan terpaksa dilepaskan di Plaza Tol Telok Panglima Garang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu melibatkan pacuan empat roda dan kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dipandu suspek yang meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, Bahagian Task Force Atispom Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan anggota Pos PGA Pulau Carey menahan kenderaan membawa warga Bangladesh itu bagi menjalankan pemeriksaan.

Jelasnya, pacuan empat roda dinaiki suspek bagaimanapun mengundur dengan laju dan merempuh kenderaan anggota polis sehingga remuk serta enjin tidak dapat dihidupkan.

“Pada masa sama, Fortuner suspek merempuh kenderaan pasukan dan menyebabkan dua anggota melepaskan tembakan ke arah tayar belakang.

“Sebanyak lima das tembakan dilepaskan dan mengenai tayar kenderaan itu yang kemudian melarikan diri melepasi tol menuju ke Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE),” katanya hari ini.

Menurut Akmalrizal, polis cuba mengejar Fortuner itu sebelum mendapati ia ditinggalkan di bahu jalan dalam keadaan pintu terbuka tanpa sebarang individu.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan yang antaranya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI