ALOR GAJAH – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengalami trauma selepas dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior di dalam kelasnya sendiri, dalam kejadian yang turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.
Kejadian itu terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa pelajar Tingkatan Tiga itu membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
“Sebaik tiba di kelas, mangsa ternampak dua pelajar lelaki berusia 17 tahun sedang menghendap dari celah pintu.
“Selepas mengambil barang dan ketika menuruni tangga, salah seorang suspek menggenggam tangan, menutup mulut dan menolak mangsa masuk semula ke dalam kelas,” kata sumber tersebut.
Tambahnya, seorang lagi suspek bertindak berjaga di kawasan tangga manakala dua pelajar lain masuk ke dalam kelas dan menyaksikan kejadian itu.
Mangsa yang dalam keadaan trauma tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehinggalah ibunya dimaklumkan oleh guru selepas video berkenaan mula tersebar dalam kalangan pelajar.- KOSMO! ONLINE