KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menempatkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) di negeri ini yang terjejas banjir lebih awal di asrama sekolah masing-masing.
Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah JPN Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, ia merupakan langkah terbaik untuk mengelakkan calon SPM dan STPM terkandas sekali gus tidak dapat menduduki kedua-dua peperiksaan itu.
Menurutnya, JPN Kelantan juga sudah mengenal pasti calon SPM dan STPM yang berada di kawasan berisiko banjir berdasarkan pengalaman lepas semasa berlaku bencana itu.
“Sehubungan itu, kesemua 595 buah sekolah di negeri ini perlu membuat persiapan awal dengan meletakkan semua peralatan sekolah di tempat lebih tinggi dan selamat agar tidak berlaku kerosakan teruk.
“Pelajar tingkatan satu hingga empat yang terjejas banjir akan menjalani kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi mengelak proses pembelajaran tergendala walaupun mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui pemberita sempena Edu Fun Walk Madani JPN Kelantan di Stadium Kijang Emas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mat Lazim memberitahu, seramai 31,587 calon SPM dan STPM yang akan menduduki peperiksaan itu pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE