PETALING JAYA – Agrobank menafikan penglibatannya susulan penularan video gimik solidariti Palestin memaparkan penggunaan bot yang mempunyai logo syarikat terbabit.
Agrobank dalam kenyataan berkata, orang ramai diseru berhati-hati ketika memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial yang boleh mengelirukan atau disalah tafsir.
Menurutnya, biarpun program Pelayaran Solidariti Kelantan bertujuan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Gaza, namun rakaman video yang dikongsikan di media sosial telah menimbulkan kekeliruan dan disalah tafsir oleh orang ramai.
“Bot yang dipaparkan dalam video tersebut digunakan dalam inisiatif promosi Agrobank sebelum ini namun, penyertaan bot tersebut dalam acara solidariti berkenaan telah dilakukan tanpa pengetahuan pihak Bank.
“Agrobank menegaskan bahawa (kami) tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan, pementasan, mahupun penyebaran video tersebut,” katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila tular satu video memaparkan sekumpulan individu di Malaysia melakukan gimik solidariti Palestin dengan mengibarkan bendera Israel, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi video yang dimuat naik @_Nrsyudh, kejadian itu dipercayai dirakamkan ketika orang ramai melakukan solidariti beramai-ramai menaiki bot di Sungai Kelantan semalam.
Bagaimanapun, sebuah bot menarik perhatian ramai apabila dilihat membuat gimik dengan berlakon sebagai tentera Israel sambil mengibarkan lima helai bendera rejim itu yang dipacak di atas bot berkenaan. – KOSMO! ONLINE