MELAKA – Kerajaan negeri Melaka menyokong hukuman berbentuk rotan dilaksanakan di sekolah sebagai langkah mendidik dan membendung masalah disiplin serius dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata, hukuman rotan itu bukan bertujuan menyakiti, sebaliknya mendidik pelajar agar tidak mengulangi kesalahan yang mencemar imej sekolah dan institusi pendidikan.
“Saya setuju hukuman rotan dikembalikan. Tapi ia perlu dilaksanakan dengan tertib, bukan untuk menyakiti, sebaliknya mendidik.
“Tujuannya mendidik bukan menyiksa, ‘keras’ tapi tidak mencederakan, cukup untuk memberi ingatan kepada murid supaya tidak mengulangi kesalahan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan tiga membuat laporan polis mendakwa dinoda dua pelajar senior di dalam kelasnya di Alor Gajah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rahmad turut menegaskan sekiranya hukuman rotan dikembalikan, pelaksanaannya perlu berpandukan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak penyalahgunaan. – KOSMO! ONLINE