SEREMBAN – Belanjawan 2026 disifatkan sebagai belanjawan yang menepati golongan sasaran serta mengutamakan rakyat, selain memberi manfaat cukup besar buat pembangunan di negeri-negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, belanjawan berkenaan juga memberikan gambaran baik mengenai usaha Kerajaan Perpaduan dalam memberikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi khususnya kepada golongan sasaran.
“Belanjawan semalam (2026) itu ada banyak manfaat yang diberikan secara terus kepada rakyat contohnya seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari segi pertambahan manfaat bantuan tersebut.
“Malah, Kerajaan Negeri Sembilan juga amat mengalu-alukan usaha baik dalam pemberian pendidikan percuma kepada pelajar terdiri daripada keluarga miskin di peringkat pengajian tinggi. Itu adalah permulaan kepada usaha murni pendidikan percuma ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2026 semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Program NADI Guru Madani 2025, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap agar pengumuman manfaat pembangunan menerusi belanjawan itu dapat dilaksanakan secara segera mengikut perancangan yang telah ditetapkan. – KOSMO! ONLINE