PETALING JAYA – Belanjawan 2026 bakal memacu pembangunan ekonomi mampan, menggalakkan pertumbuhan dalam semua sektor, merangsang pelaburan dan juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bagi Agrobank, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menitikberatkan perbelanjaan usahawan agro dengan peruntukan yang memberangsangkan sejajar dengan aspirasi memperkukuh aktiviti pertanian dan bekalan rantaian nilai makanan negara.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, peruntukan besar kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan dalam Belanjawan 2026 adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna.

“Peruntukan sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk Agrobank yang menyasarkan usahawan tani bagi mengembangkan perniagaan serta menyokong automasi dan mekanisasi.
“Peruntukan besar ini bukan sahaja menyokong pemain industri, malah turut membantu meningkatkan produktiviti mereka dan memastikan kelangsungan sektor pertanian sebagai tunjang kepada keselamatan makanan negara,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling memuji peruntukan Belanjawan 2026 terhadap sektor Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV), khususnya semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan AI.
Menurut beliau, dasar ini amat penting dalam memposisikan ekonomi untuk mencapai sasaran RM2 trilion menjelang tahun 2030.
Katanya, penekanan terhadap sektor perkhidmatan akan mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan digitalisasi melalui insentif cukai automasi, pengembangan kewangan Islam dan prospek pelancongan.

Inisiatif untuk menyokong eksport berteknologi tinggi melalui Dana Pembangunan Industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), pelaburan strategik oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dalam sistem semikonduktor, serta pembiayaan bersasar untuk aktiviti bernilai tinggi, juga akan mendorong industri ke arah mencapai potensi eksport RM1 trilion menjelang 2030.
“Syarikat korporat Malaysia, terutamanya firma besar dan PKS, akan mendapat manfaat daripada penekanan Belanjawan 2026 terhadap pertumbuhan inklusif dan hijau, serta pembangunan berasaskan inovasi.
“Kami di AmBank percaya bahawa Belanjawan 2026 mencapai keseimbangan yang baik antara menjamin pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengekalkan disiplin fiskal,” terangnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi menerangkan, Belanjawan 2026 komited untuk menyokong pembeli rumah pertama dan penjawat awam muda melalui pelanjutan Skim Pembiayaan Perumahan Muda, jaminan pinjaman rumah sehingga 120 peratus, dan pengecualian duti setem bagi rumah pertama sehingga RM500,000.

“Bagi M K Land dan pemain lain dalam industri hartanah, inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memasuki pasaran hartanah.
“Ia sekali gus membolehkan pembeli rumah pertama memiliki kediaman mereka dan mereka yang ingin menaik taraf rumah mereka berupaya memiliki rumah impian mereka.
“Pada masa yang sama, ia juga memberi peluang kepada pemaju hartanah seperti M K Land untuk merancang dan melaksanakan projek berskala lebih besar dan lestari, sejajar dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat,” jelasnya.
Tambah beliau, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 juga disediakan untuk galakan melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara, malah turut menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti domestik.
“Dengan pelepasan cukai sehingga RM500,000 bagi pengubahsuaian dan penambahbaikan premis perniagaan, M K Land berpeluang meningkatkan fasiliti serta pengalaman pengunjung di resort kami, termasuk di Ombak Villa Langkawi dan Bukit Merah Laketown Resort, sambil terus menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan tempatan, terutamanya di Perak dan Langkawi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, sokongan terhadap pelaksanaan kemudahan Inter-Terminal Transfer di KLIA atau KUL Airside transfer, cadangan menaik taraf lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri serta penambahbaikan di STOLport seperti Marudi dan Redang, akan memperkukuh kesiapsiagaan rangkaian lapangan terbang negara terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut beliau, peruntukan RM50 juta geran padanan bagi menggalakkan penerbangan antrabangsa dan carter ke Malaysia dijangka merancakkan ketersambungan global dan menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
“Sejak penswastaan Malaysia Airports pada awal tahun ini, kami telah menumpukan usaha kepada tiga teras utama iaitu perkhidmatan, pertumbuhan dan kapasiti.
“Tahun 2025 telah menyaksikan kemajuan berterusan dalam pembangunan infrastruktur lapangan terbang, termasuk siapnya naik taraf di Ipoh yang meningkatkan kapasiti kepada 700,000 penumpang setahun serta pembesaran di Kota Bharu yang bakal disiapkan pada 2026 dengan kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE