KAJANG – Sebuah bas ekspres dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit dan melanggar tiang yang mengakibatkan seorang maut di kilometer (KM) 293 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, seorang lelaki berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala 28 penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan mendapati sebuah bas dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Boon Lay, Singapura menuju ke Ipoh, Perak.
Menurutnya, bas tersebut dinaiki seramai 29 penumpang termasuk pemandu terdiri daripada 24 orang tempatan dan lima warga Singapura.
“Seorang pekerja pembinaan di Singapura iaitu penumpang di kerusi hadapan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“28 penumpang termasuk pemandu dan pemandu simpanan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kesemua mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Kajang, Putrajaya, Cyberjaya dan Seremban.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut apabila sebuah bas ekspres terbabas dan melanggar tiang papan tanda berhampiran susur keluar Southville, awal pagi tadi.
Mangsa, Chew Sin Heng yang tersepit disahkan maut di tempat kejadian manakala penumpang lain yang cedera menerima rawatan kecemasan di lokasi. – KOSMO! ONLINE