WASHINGTON – Satu rakaman video tular kerana memaparkan kanak-kanak kecil berlari seorang diri pada waktu malam di sebuah lebuh raya di negeri Florida, lapor portal berita New York Post semalam.
Kanak-kanak itu hampir dilanggar kereta sebelum seorang anggota polis sempat menghentikan lalu lintas di Lebuh Raya 41, North Port dan memindahkan mangsa ke tempat selamat.
Dia yang dikenali sebagai Sarjan Shield berbuat demikian selepas melihat anak kecil itu berlari dengan hanya memakai seluar pendek dan baju.
Ketika memperlahankan kenderaan untuk berpatah balik ke lokasi kejadian, rakaman kamera papan pemuka kereta perondanya memaparkan sebuah kenderaan utiliti lasak (SUV) putih hampir melanggar kanak-kanak tersebut.
Kanak-kanak kurang upaya itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas sarjan berkenaan keluar dari kereta dan mengejarnya.
Menurut polis, dia kemudian dihantar pulang dengan selamat dan menyatakan bahawa ibu bapa kanak-kanak itu tidak bersalah dalam kejadian tersebut – AGENSI