JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang wanita yang dipercayai merupakan dalang satu sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along) yang menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura ditahan polis, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini, serta Kluang antara 4 hingga 7 September lalu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menerima upah RM1,000 bagi setiap perbuatan khianat dengan api manakala RM550 bagi perbuatan khianat dengan simbah cat termasuk menampal notis ugutan di kediaman mangsa.
“Sindiket ini aktif mempromosikan pinjaman wang melalui platform media sosial seperti Facebook dan TikTok sejak Februari lalu. Modus operandi digunakan mereka adalah terus memasukkan wang ke dalam akaun mangsa walaupun terma dan syarat perjanjian belum dipersetujui.
“Selepas itu, mangsa dipaksa membayar balik pinjaman dengan kadar faedah tinggi antara 20 hingga 50 peratus. Mereka akan diugut, kediaman disimbah cat atau dikhianat dengan api sekiranya gagal membuat pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, selain tangkapan melibatkan ketiga-tiga suspek, pihaknya turut merampas sebuah kereta, motosikal, telefon bimbit, botol berisi minyak petrol dan peralatan lain dipercayai digunakan bagi perlakuan jenayah tersebut.
“Sasaran utama sindiket ini adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Transaksi kewangan yang dilakukan turut menggunakan akaun bank yang berdaftar di republik tersebut,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, dengan penahanan ketiga-tiga suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 34 kes berkaitan along melibatkan 18 kes di Johor Bahru, enam kes di Kulai; Kluang (tiga); Pontian (dua); Batu Pahat (dua); Mersing (dua) dan satu di Kota Tinggi. – KOSMO! ONLINE