KUALA LUMPUR – Pelakon Aedy Ashraf teruja apabila namanya kembali tercalon di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) selepas 20 tahun.
Kali terakhir Aedy atau nama sebenarnya, Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, tercalon dalam FFM adalah ketika berusia 12 tahun menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.
“Ketika itu Syafie Naswip yang menang, jika tidak silap saya sewaktu FFM diadakan di Pulau Pinang.
“Itu adalah kali pertama saya tercalon dalam anugerah berprestij di Malaysia. Walaupun masih kecil, saya masih ingat momen tersebut,” ujarnya.
Oleh itu, sepanjang 22 tahun bergelar pelakon menjadi impiannya untuk kembali tercalon dalam anugerah berprestij itu.
Malah, sebagai karyawan seni dia sudah cukup berpuas hati apabila tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik sebaris dengan nama-nama besar seperti, Eman Manan, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly.
Aedy tercalon menerusi lakonan cemerlangnya dalam Kahar: Kapla High Council.
“Sebagai pelakon tercalon sebaris dengan nama-nama besar yang lain, sudah cukup untuk saya. Selebihnya saya tidak mahu fikir.
“Tidak dinafikan saingan memang sengit kerana yang tercalon semua pelakon saya hormati dan kagumi. Jadi, tercalon bersama mereka yang terbaik memberi saya semangat untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Berlapang dada dalam soal rezeki, kata Aedy, dia akan meraikan sesiapa sahaja yang menang kelak kerana yakin penjurian adalah profesional.
FFM34 bakal berlangsung pada 1 November ini di Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur dan akan disiarkan di saluran TV2.
Aedy ditemui pada sidang media pelancaran filem Klepet di GSC, KLCC semalam. Filem Klepet lakonannya bersama Nadhir Nasar dan Meerqeen itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 27 November 2025.- KOSMO! ONLINE