PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan luar biasa terhadap kebajikan penjawat awam dalam Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan hari ini.
Presidennya, Datuk Dr. Haji Adnan Mat berkata, belanjawan kali ini bukan sahaja memberi tumpuan terhadap aspek ekonomi rakyat, malah turut membuktikan kerajaan tidak melupakan jasa penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
“Cuepacs mengucapkan terima kasih atas fokus besar kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan Madani 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengumuman pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang akan bermula Januari 2026 dengan implikasi kewangan RM18 bilion membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan skim gaji dan imbuhan lebih adil serta mampan.
Cuepacs turut menzahirkan penghargaan terhadap pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, serta RM250 kepada pesara kerajaan dan veteran
Selain itu, Cuepacs turut berterima kasih atas penambahbaikan kemudahan perumahan melibatkan peruntukan RM2.2 bilion bagi pembinaan, penyelenggaraan dan baik pulih kuarters penjawat awam termasuk anggota keselamatan, guru dan petugas kesihatan.
Menurut Adnan, inisiatif seperti jaminan pinjaman sehingga 120 peratus melalui SJKP, kemudahan pinjaman BSN bernilai RM500 juta serta peningkatan had pembiayaan LPPSA kepada RM1 juta jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan penjawat awam muda dan kontrak.
Dalam masa sama, Cuepacs turut menghargai kenaikan Bantuan Sara Hidup pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 serta pemberian Elaun Sara Hidup RM900 kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa.
Tambah beliau, keputusan kerajaan mengekalkan pemotongan 20 peratus gaji Menteri Kabinet juga menunjukkan contoh kepimpinan berintegriti yang wajar dicontohi seluruh jentera perkhidmatan awam.
“Cuepacs amat menghargai kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sehingga RM10,000 bagi tujuan menunaikan Haji dan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keseimbangan antara kesejahteraan duniawi dan rohani penjawat awam.
“Cuepacs percaya Belanjawan 2026 adalah belanjawan yang menyentuh hati penjawat awam dan bukan sekadar angka, tetapi satu bentuk pengiktirafan yang tulus atas jasa dan peranan besar penjawat awam dalam menjayakan pentadbiran negara.” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM22 bilion untuk penjawat awam dalam pembentagan Belanjawan 2026 meliputi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 2.0, bantuan khas kewangan, kemudahan perumahan serta pelbagai insentif kebajikan.-KOSMO! ONLINE.